Header Ads

 photo Artboard 2-100.jpg

Polis Indonesia berkas rakyat Malaysia bersama 6kg syabu

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan seorang rakyat Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup masuk enam kilogram dadah jenis syabu ke Kalimantan Timur, Indonesia, 16 Julai lalu.

Lelaki tersebut ditahan oleh Bahagian Narkotik Kalimantan Timur, hasil maklumat perisikan diterima tentang cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dari Tawau ke Kalimantan.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah dihubungi Polis Republik Indonesia (POLRI) berhubung penahanan berkenaan.

“Setakat ini, saya masih belum menerima butiran terperinci penahanannya, namun dimaklumkan ada seorang rakyat Malaysia berasal dari Tawau, ditahan oleh POLRI.

“Jadi perkara ini berbalik kepada kenyataan saya sebelum ini bahawa keadaan dadah di negara ini amat kritikal dan inilah yang dimaksudkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd memberitahu, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan sekiranya suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket penyeludupan dadah di negara ini.

“Setakat ini, kita masih meneliti maklumat yang diperolehi POLRI bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah berkenaan.

“Suspek masih berada di negara jiran untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang rakyat Malaysia antara lima individu ditahan di Kalimantan Timur kerana menyeludup enam kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu dianggarkan bernilai RM264,000.

Difahamkan, rakyat Malaysia berkenaan dalang yang berperanan menyeludup masuk dadah ke negara berkenaan.

No comments

Pilihan

230 ditahan dalam Ops Ice Breaker

KUCHING, 1 Ogos – Seramai 230 orang telah ditangkap di dalam Operasi Ice Breaker yang dijalankan pada 29 dan 30 Julai oleh Jabatan Siasa...

Powered by Blogger.