Dokumentari khas Gawai akan ditayangkan, Gobind
SERIAN: Memartabatkan keunikan dan budaya masyarakat Sarawak satu dokumentari khas Gawai akan ditayangkan melalui siaran TV1 dan TV2 pada tahun ini.
Menteri Komunikasi Dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, dengan itu keunikan budaya dan identiti masyarakat Dayak dapat ditonjolkan kepada masyarakat lain termasuk pelancong.
"Kita mahu masyarakat Dayak mengekalkan keunikan identiti mereka kepada generasi akan datang agar ia tidak lenyap begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Sambutan Gawai Dayak di Kampung Triboh, di sini malam tadi.
Menjelas lanjut, katanya, keunikan budaya itu bukan sahaja merupakan aset yang bernilai kepada masyarakat Dayak malah merupakan penyumbang kepada industri pelancongan negara.
"Kita yakin perayaan Gawai sebagai satu platform untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan dalam masa yang sama memperkukuhkan jaringan antara kaum yang ada di negara ini.
"Sehubungan itu, kita berharap Gawai akan menjadi masyarakat pelbagai kaum meneruskan amalan kunjung- mengunjung bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim," katanya.

Post a Comment