Header Ads

 photo Artboard 2-100.jpg

Sarawak Merdeka pada 31 Ogos 1963?

 
 
Mukadimah
Sebelum Brooke menjajah Sarawak sebagai estet peribadinya pada tahun 1841, Sarawak adalah sebuah wilayah yang terpisah daripada pakatan Inggeris- Belanda pada tahun 1824. Walau bagaimanapun keengganan Pangeran Indera Mahkota dalam mencapai titik perdamaian dengan masyarakat tempatan pada 1839, menyaksikan wilayah tersebut berada dalam situasi konflik sehingga membawa kepada campur tangan asing untuk "mendamaikan" mereka. Sungguhpun demikian dalam 100 tahun pemerintahan Keluarga Brooke, Brunei yang memiliki Wilayah Sarawak secara langsung dari Tg Kidurong hingga ke Lawas, mengecil sedikit demi sedikit lantaran ketamakan dan kecilikan Charles Brooke dalam mengukuhkan kuasanya di Timur dan pembesaran estet keluarganya itu.
Penulisan ini adalah satu bentuk perbincangan yang terbuka tentang status Sarawak sebelum terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963. Ia menjurus kepada pengetahuan am dan pengetahuan sedia ada kita tentang sejarah Sarawak yang perlu kita tahu bagi mengelakkan kekeliruan maklumat yang akhirnya menimbulkan polemik dan konflik kepada masyarakat di Malaysia khususnya di Sarawak.
Status Kemerdekaan Sarawak pada Tahun 1888.
Sarawak diiktiraf sebagai negeri Merdeka dalam Pernaungan British pada 5 September 1888. Kuasa eksekutif tertinggi masih dipegang oleh Charles Brooke walaupun menerima naungan daripada Queen Victoria di London. Perjanjian Enam Perkara di antara Charles Brooke dan Kerajaan British ini berjalan seperti biasa walaupun tidak mempunyai apa-apa kesan kepada pentadbiran kedua-dua pihak ini.
Namun, pada November 1941, Perjanjian ini diperbaiki semula dengan satu lagi Perjanjian sebanyak Lima Perkara bagi memastikan taraf Sarawak sebagai negeri Naungan Raja Great Britain dikekalkan dan jaminan keselamatan terhadap Sarawak diberi oleh Great Britain. Namun usaha British untuk menundukkan pengaruh Vyner Brooke tidak kesampaian apabila Jepun menyerang Sarawak pada 24 Disember 1941. (Castle, 275)

Sarawak selepas Perang Dunia Kedua
Selesai peperangan di Pasifik, Pasukan Tentera Australia mengambil alih kedudukan dan pentadbiran di Sarawak. Pada masa perang, kerajaan buangan dikendalikan oleh Vyner Brooke di Australia. Setelah Vyner Brooke pulang ke Sarawak, timbul isu lama yang tidak berkesudahan untuk mencari pengganti Raja yang berusia 71 tahun tersebut. Dari segi hierarki, kedudukan anak saudaranya Anthony berada dalam kedudukan teratas. Namun usaha Vyner dan isterinya Sylvia untuk memastikan kerajaan di Sarawak ditadbir oleh darah daging mereka sendiri iaitu Leonara tidak berhasil kerana mendapat tentangan daripada gereja.
Walaupun Anthony mendapat gelar Rajah Muda daripada ayahnya yang begawan, tetapi Vyner tidak menyukai beliau kerana sikapnya yang selalu berkonfrontasi dengan ayah saudaranya itu. Ketidak tentuan inilah merupakan alasan kukuh untuk Vyner menerima tawaran British bagi menjadikan Sarawak sebagai Koloni Inggeris di Timur selepas Perang Dunia Kedua.
Alasan Vyner kepada masyarakat dunia pula ialah ketidak upayaan beliau membangunkan Sarawak yang musnah akibat perang sedangkan menurut laporan perbendaharaan jumlah simpanan Kerajaan pada masa tersebut ialah sebanyak 2,250,000 pound dan tidak mempunyai hutang kepada sesiapapun. (Nordie, 116).
Akhirnya pada 1 Julai 1946, Sarawak jatuh menjadi sebuah Koloni British yang menerima pertuanan British selepas tarafnya sebagai naungan Duli Mahkota British direndahkan sebagai subjek British. Ia berlangsung selama 17 tahun sehinggalah Sarawak dimerdekakan pada 1963.

Gagasan Malaysia dan Taraf Sarawak 
Pada 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra membina satu gagasan Penubuhan Negara Baharu dinamakan Malaysia. Bagi rakyat di Sarawak, terdapat dua pendapat iaitu bersetuju dan tidak bersetuju untuk Malaysia. Mereka yang bersetuju adalah mereka yang berada dalam kelompok kelas Menengah dan juga terpelajar dalam kalangan bumiputera. Kelompok yang tidak bersetuju adalah masyarakat Cina yang diresapi oleh roh Komunis yang merebak dari Kalimantan melalui lidah rakyat mereka, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan pegawai-pegawai kanan British di Sarawak yang menjadi Tuan kepada penduduk Sarawak. 
Persekutuan Malaysia mengambil masa selama dua tahun untuk dimuktamadkan sehinggalah semua pihak menandatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963. Kelima-lima pihak itu ialah Persekutuan Tanah Melayu, Great Britain, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah). Brunei menarik diri dengan alasan-alasan mereka tersendiri.
Pada 18 Julai 1963, berlaku satu mesyuarat dalam kalangan Perikatan Sarawak yang membentuk majoriti di Dewan Negeri Sarawak pada 24 Jun 1963. Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk memilih Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Walaupun SNAP bukanlah parti tulang belakang perikatan dan menang sedikit kerusi sahaja berbanding Berjasa dan Pesaka, namun atas nama tolak ansur, SNAP yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Encik Stephen Kalong Ningkan dipilih untuk mengepelai jawatan eksekutif tersebut.
Pada 22 Julai 1963, berlaku pewartaan jawatan eksekutif yang kemudiannya dilakukan upacara angkat sumpah sebagai Kabinet Negeri di hadapan Gabenor British, Sir Alexander Waddell.
Benarkah 22 Julai 1963 adalah Hari Berkerajaan Sendiri? 
Isu ini diperdebatkan sejak sekian lama. Malah menjadi isu dan polemik yang lebih hebat lagi apabila tarikh ini juga disalah anggap sebagai Tarikh Kemerdekaan Sarawak.
22 Julai sebagai hari Isnin biasa pada hari tersebut, hanyalah upacara Pelantikan Ketua Menteri Sarawak dan lima orang menteri kabinet negeri. Tugas mereka adalah bagi menjalankan tugas prinsipal dalam bidang eksekutif di bawah pentadbiran Gabenor British tanpa menjejaskan satupun fungsi Gabenor yang merupakan kuasa tertinggi dalam Pentadbiran Sarawak.
Lantikan ini hanya akan berfungsi sekiranya tempoh relinquishment (penyerahan) kedaulatan Baginda Queen kepada Persekutuan Baharu bernama Malaysia itu dizahirkan iaitu pada 16 September 1963. Hal ini dinyatakan secara terus dalam Perjanjian Malaysia ( Artikel IV ) yang ditaati kandungannya oleh semua pihak di Sabah dan Sarawak. 
Artikel IV memperuntukkan penyerahan kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bermula pada Hari Malaysia.
 Namun demikian, mengikut Perjanjian asal Hari Malaysia jatuh pada 31 Ogos 1963. Atas faktor-faktor tertentu, Hari Malaysia telah dipinda pada Artikel II bertarikh 28 Ogos 1963 di Singapura kepada 16 September 1963. 
Tarikh 16 September ialah tarikh di mana semua Perjalanan Pentadbiran Kerajaan dipulangkan kepada Anak-anak negeri yang Merdeka seperti yang terkandung dalam Kembaran A, selaras juga dengan Artikel IV yang dibincangkan tadi. 
Bilakah Tarikh Berkerajaan Sendiri?
Dalam Sarawak Gazette bertarikh 31 Ogos 1963, telah dinyatakan bahawa Sarawak mencapai status Berkerajaan Sendiri pada 31 Ogos 1963. Begitu juga dengan kata-kata yang diungkapkan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor pada 16 September 1963.
Begitu juga mesej yang disampaikan oleh Ketua Menteri yang mengatakan bahawa 16 September 1963 adalah Hari Kemerdekaan Sarawak dan Hari Malaysia. 
Kesimpulan
Sarawak tidak menyambut Hari Berkerajaan Sendiri ataupun Kemerdekaan pada 22 Julai 1963. Inisiatif kerajaan bagi menjadikannya dikenang sebagai Hari Sarawak masih belum ada alasan yang kukuh walaupun sudah dua kali diraikan. Setiap tahun konsep yang sama ditekankan dalam sambutan tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang boleh hendak diungkapkan dalam tarikh yang bercelaru tersebut. Sekiranya adapun, ia hanyalah sebagai penghayatan dalam memahami detik-detik bersejarah sebelum Sarawak menjadi negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Walaupun penulis melawan arus daripada seorang sejarahwan yang disegani di negeri Sarawak ini, namun pada hemat penulis, Hari Malaysia satu-satunya hari yang selaeas dengan dengan Perjanjian Malaysia yang ditaati oleh pelbagai pihak tersebut. Jika ada yang tidak mengiktiraf Hari Malaysia sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak pada 16 September 1963 samalah juga dia tidak menghormati Penjanjian Malaysia yang sering dilaungkan sebagai satu Perjanjian yang harus dipatuhi. Perkara paling mudah dalam hidup ialah melupakan apa yang telah ditetapkan. 
Sumber :
1. Castle A.C (2003) The Constitutional And Legal History of Sarawak, Kuching, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak.
2. Nordi Achie (2013) Kolonialisme dan Kristianisasi Melayu di Sarawak 1850-1950, Kota Kinabalu, Penerbit Universiti Malaysia Sabah.
3. Sarawak Gazzette 31 Ogos 1939, 31Ogos 1963 dan 30 September 1963
4. Ho Ah Choon Historical Event 1963 
5. Chicago Tribune Online Version, February, 14 1946
 
 

No comments

Pilihan

230 ditahan dalam Ops Ice Breaker

KUCHING, 1 Ogos – Seramai 230 orang telah ditangkap di dalam Operasi Ice Breaker yang dijalankan pada 29 dan 30 Julai oleh Jabatan Siasa...

Powered by Blogger.