4,928 buah pili bomba rosak
KUCHING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak sehingga hari ini merekodkan sejumlah 4,928 buah pili bomba rosak akibat daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat.
Daripada jumlah itu, tindakan vandalisme telah mengakibatkan Batu “H” dan Tiang Pili Bomba patah sebanyak 625 buah pili Bomba.
Sejumlah 3,010 buah pili bomba direkodkan mengalami masalah kehilangan penutup Chamber pili bomba atau dengan kata mudah dicuri dan sejumlah 1,293 buah pili Bomba mengalami kehilangan Cap pada outlet Pillar Hydrant.
Pengarah Bomba Sarawak, PKPjB Haji Khirudin Drahman@Husaini berkata, pihaknya memandang serius berhubung kes-kes vandalisme ke atas pili bomba kebelakangan ini.
Katanya, malah sehingga kini masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengetahui kepentingan pili bomba.
"Pili bomba begitu penting terutamanya ketika kebakaran berlaku, tempoh 5 minit pertama setibanya jentera bomba di lokasi kejadian adalah waktu amat kritikal dalam memastikan tindakan operasi kebombaan yang berkesan dan pada masa itu punca air dari pili bomba dan sumber air terbuka adalah sangat diperlukan.
" Kapasiti tangki air dalam jentera bomba hanya mampu menampung kerja-kerja pemadaman untuk tempoh 5 minit pertama sahaja dan sekiranya pili bomba sedia ada di lokasi kejadian tidak dapat digunakan, ianya akan menjejaskan sesuatu operasi," katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Sehubungan itu, Khirudin mewakili Bomba Sarawak menyeru, orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian vandalisme ke atas pili bomba supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pelaku yang boleh mengganggu operasi bomba menyelamatkan nyawa dan harta orang yang menjadi mangsa kebakaran.

Post a Comment