Bintulu sudah bersedia menjadi tuan rumah sambutan Hari Sarawak
TARIKH 22 Julai merupakan momen membanggakan bagi penduduk Bintulu -bandar yang terkenal dengan hasil minyak dan gas kerana menjadi tuan rumah bagi penganjuran sambutan Hari Sarawak tahun ini.
Ini adalah julung kali sambutan itu disambut diluar Kuching.
Sepanjang tiga hari sambutan bermula 20 Julai, warga Bintulu dan sekitarnya berpeluang menyaksikan banyak aktiviti menarik dengan acara kemuncak iaitu Perhimpunan Hari Sarawak di Jalan Lapangan Terbang Lama pada 22 Julai.
Perhimpunan ini akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib yang dijangka tiba pada 9.15 pagi. Turut hadir menyambut ketibaan ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang serta dif-dif kenamaan lain.
Acara dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Menteri diikuti tayangan video pembangunan di Sarawak secara keseluruhan diikuti dengan upacara menaikkan bendera.
Kemuncak ialah gimik sambutan oleh Tun Taib diikuti persembahan akhir sambutan. Beliau diiringi Ketua Menteri kemudian merasmikan Pameran Hari Sarawak berhampiran Naim Bintulu Paragon.
Kemudian Ketua Menteri akan merasmikan peutupan Pertandingan E-Sukan di tempat yang sama.
Tujuh aktiviti menarik akan diadakan antaranya Sarawak E-Sport 2019 di Naim Street Mall Bintulu pada 20 hingga 22 Julai 2019, Sarawak Day Run (21 kilometer) Wisma Bintulu, Tanung pada 21 Julai, Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin, Bintulu pada 21 Julai dan Konsert Kamek Sayang Sarawak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Bintulu pada 21 Julai.
Sambutan ini dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak sempena memperingati pada 22 Julai 1963, kerajaan British memberikan hak pemerintahan sendiri selama mana ia menyertai Persekutuan Malaysia.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama diadakan di Bintulu ketika itu dan ini amat memberi makna memilih bahagian tersebut sebagai tuan rumah sambutan Hari Sarawak.

Post a Comment