Siapa sangka dalam perut ada harta karun!!!
INDIA - Doktor di Bengal Barat terkejut setelah mengeluarkan duit syiling dan perhiasan bernilai £53,000 (RM 568,000) dari perut seorang wanita, baru-baru ini.
Runi Khatun, 22, dikejarkan ke hospital dalam keadaan lemah dan kurus selepas dia mula muntah setiap kali selepas makan pada 16 Julai lalu.
Doktor mendapati banyak barang kemas diperbuat tembaga di dalam badan wanita muda itu selepas imbasan dilakukan - termasuk 69 rantai, 80 anting-anting, 46 syiling, lapan loket, 11 cincin hidung, lima gelang kaki dan satu jam tangan.
Menurut ibu Runi, barangan dan perhiasan emas mula hilang dari rumah mereka sejak kebelakangan ini.
Katanya, dia tidak tahu anak perempuannya menelan barang-barang itu dan duit syiling pula mungkin datang dari kedai abangnya.
Apabila anaknya itu ditanya mengenai barang-barang yang hilang, dia akan menangis - tetapi tidak pernah mendedahkan bahawa ianya telah ditelan.
"Kami perhatikan bahawa banyak barang perhiasan telah hilang, tetapi setiap kali kami mempersoalkannya, dia mula menangis dan tidak berkata apa-apa," katanya.
Tambah si ibu, walaupun diperhatikan dengan rapat, dia berjaya menelan semua objek tersebut tanpa disedari.
"Dia nampak tidak sihat sejak dua bulan yang lalu.
"Sebelum ini dia pernah dihantar ke hospital swasta untuk mendapat rawatan tetapi tiada tanda untuk pulih,"
jelasnya.
Ketua jabatan pembedahan di Kolej Perubatan dan Hospital Kerajaan Rampurhat, Dr Siddhartha Biswas berkata, pesakit itu dalam keadaan stabil tetapi tidak boleh mengambil sebarang makanan.
"Pesakit kelihatan lemah dan kurus ketika dia dimasukkan ke hospital. Kiraan albumin dan hemoglobin begitu rendah sehingga kami tidak dapat melakukan pembedahan dengan segera.
"Keadaannya juga sangat kritikal sehingga dia memerlukan sekurang-kurangnya lima botol darah malah tidak dapat mengambil makanan secara fizikal, jadi kami terpaksa menyuntik makanan secara manual melalui mulutnya," ujarnya.
Pembedahan untuk mengeluarkan barang-barang itu berlangsung sekitar 1 jam 15 minit.
Sebanyak 1.6kg barangan dikeluarkan dari perutnya, doktor memisahkan setiap barang sebelum meletakkannya di atas meja untuk mendedahkan jumlah telanan mengejutkan itu.

Post a Comment