Kerajaan Tempatan kuasa Sarawak termaktub MA63
KUCHING - Sarawak tidak akan menyerahkan hak bagi mentadbir majlis tempatan di negeri ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Lapor The Star, Abang Johari berkata, kerajaan tempatan merupakan salah satu hak Perlembagaan bagi Sarawak maka beliau menolak cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih pentadbiran bagi menjadikan majlis tempatan lebih efisien di negara.
"Dibawah MA63, ia merupakan hak Sarawak untuk mentadbir kerajaan tempatan.
"Terdapat cadangan yang mana mereka mahu untuk mentadbir kerajaan tempatan, tetapi dibawah Perlembagaan tidak boleh berbuat demikian kerana ia kuasa autonomi kita sama seperti imigresen," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan angkat sumpah 750 kaunselor bagi 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) semalam.
Kaunselor-kaunselor itu termasuk 314 muka baharu yang dilantik bagi penggal 2019-2021.
Abang Johari juga mengumumkan elaun tetap sebanyak RM300 sebulan kepada kaunselor sebagai tambahan elaun kehadiran mesyuarat.
Terdahulu, beliau dalam ucapan memberitahu, Kerajaan Negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melindungi hak kaunselor yang mana mereka dilantik olah negeri untuk mentadbir majlis masing-masing.
"Tiada orang luar boleh mengambil hak kita bagi kerajaan tempatan. Terdapat sesetengah orang mahu cuba mengambil kuasa dalam pentadbiran kerajaan tempatan, tapi saya kata tidak.
"Sarawak ditadbir urus oleh Sarawak sendiri," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta kaunselor untuk bertemu dengan masyarakat dan menjalankan polisi yang digariskan oleh kerajaan negeri.
Katanya, PBT perlu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membawa pembangunan kepada rakyat.
"Kaunselor perlu melakukan bahagian mereka untuk melaksanakan polisi dan pembangunan projek," ujarnya,

Post a Comment