Tiada pintu belakang proses kewarganegaraan
KUCHING - Tiada pintu belakang dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, keputusan sama ada meluluskan atau tidak sesuatu permohonan, beliau dibantu oleh pegawai-pegawai yang profesional dalam menjankan tugas mereka.
Katanya, setiap satu permohonan berserta dokumen-dokumen pembuktian akan diteliti rapi pegawai-pegawai Kementerian sebelum syor diangkat kepadanya selaku Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan.
"Saya tidak membuat keputusan secara sewenang-wenangnya tanpa syor daripada pegawai yang meneliti dan menilai setiap permohonan dengan rapi.
"Justeru itu, kepada pihak yang membuat dakwaan, pesan saya janganlah mudah untuk menuduh tanpa usul periksa dan mengambil sikap yang berbaur perkauman dalam menilai isu kewarganegaraan," katanya pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Warganegara Malaysia di UTC Kuching pagi tadi.
Tambah beliau, kajian semula Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan kewarganegaraan juga telah diarahkan untuk memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara lebih teliti, adil dan cepat.
"InsyaAllah, dibawah SOP baharu dirangka KDN, terdapat garis panduan yang lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A untuk memastikan setiap keputusan dibuat mengambil kira faktor kebajikan anak-anak yang memohon taraf kewarganegaraan.
"Selain itu, tempoh masa untuk memproses setiap permohonan juga akan dipendekkan daripada tiga tahun kepada paling lama hanya satu," ujarnya.
Muhyiddin memberitahu, beliau juga memberikan jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa berlaku adil dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan.
"Sesiapa sahaja yang layak memperolehi kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan akan diberikan pertimbangan seadilnya tanpa mengira sama ada pemohon itu seorang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut atau mana-mana kaum sekalipun.
"Setiap pemohon mestilah dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mereka," jelasnya.

Post a Comment