Header Ads

 photo Artboard 2-100.jpg

Roviezal terkorban demi tanggungjawab


Pada 12 Julai lalu, sembilan pelancong asing bersama seorang pemandu pelancong tempatan meneroka Gua Rusa atau lebih dikenali Deer Cave di Taman Negara Gunung Mulu di Miri- dua daripadanya maut selepas  dibawa arus deras kepala air semasa berlaku banjir kilat di dalam gua tersebut.

Mayat mangsa pertama Peter Hans Hoverkamp, 66, dari Belanda ditemui terapung dalam sungai kira-kira jam 6.40 pagi oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada keesokan hari (13 Julai).

Manakala mayat pemandu pelancong Roviezal Robin, 20, ditemui Isnin15 Julai pada jam 10.10 pagi di Deer Sum kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
Gambar mangsa sebelum kejadian dirakam oleh Miss Solene Lea Josephine Dupont Lorenzi yang berasal daripada Perancis. 

Penemuan Roviezal ini sekaligus menamatkan SAR yang mengambil masa selama tiga hari.

Apa yang berlaku dalam tempoh empat hari ini adalah kisah yang luar biasa - kesanggupan Roviezal mengadai nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain dan usaha pelbagai pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, kakitangan Taman Negara Gunung Mulu, polis dan penduduk kampung yang tidak mengenal erti lelah SAR sehingga operasi itu selesai hari ini.

Dalam kejadian pada Jumaat, lapan orang yang turut serta dalam rombongan menerokai Gua Rusa tersebut termasuk isteri Peter Hans yang dikenali sebagai Gerda Alida terselamat.

Bagaimanapun, Roviezal turut hanyut dibawa arus deras ketika berusaha menarik dan menyelamatkan Peter Hans.

Tragedi ini menjadi perhatian ramai terutamanya rakyat Sarawak yang sedih dan bersimpati ke atas ahli keluarga mangsa.

Kejadian ini menjadi perhatian netizen kerana Roviezal maut ketika sedang menjalankan tugas dan mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan nyawa orang lain dan bagi mereka Roviezal adalah hero yang sebenarnya.

Ramai netizen meluahkan kesedihan mereka dengan pemergian mendiang yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab dan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian.

 Selain itu, netizen turut memuji pasukan SAR yang tidak putus asa untuk mencari kedua-dua mangsa meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, kira-kira 68 orang terlibat dalam operasi itu membabitkan 12 anggota operasi dan pegawai kanan bomba, seorang anggota polis, 20 kakitangan Taman Negara Mulu dan 35 penduduk kampung.

Operasi yang dijalankan selama tiga hari itu memaksa pihak bomba memperluaskan radius pencarian sehingga 600 meter daripada pintu masuk Gua Rusa dengan kekuatan 4 pasukan SAR.

"SAR ini turut membawa kami ke tempat tempat terakhir dan paling berbahaya di Mulu iaitu kolam dalam dan penermuan terowong 75 meter yang belum dipetakan. Tiada manusia pernah sampai di sana," katanya mengulas operasi itu.


Strategi operasi SAR juga dilakukan dengan memberi fokus kepada kawasan sasaran dimana pasukan SAR 1 telah ditugaskan untuk mencari di kawasan bawah tangga yang digunakan untuk turun ke Gua Rusa, SAR 2 mengikut curahan aliran air, manakala SAR 3 dan 4 masing-masing di kawasan Sungai Paku ke Sungai Payau dan haluan-haluan baharu ke gua.

Beliau mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi SAR Mulu sehingga terjumpa kedua dua mangsa.

Pihak tersebut ialah penduduk kampung, BORSAR Mulu, polis, Sarawak Foresty Corporation (SFC), kakitangan Taman Negara Gunung Mulu, Unit Udara Bomba dan pegawai perubatan Mulu dan hospital Miri.

Taman Negara Gunung Mulu merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO di mana Deer Cave merupakan salah satu saluran gua terbesar di dunia dengan kawasan keluasan dua kilometer panjang serta 90 meter tinggi dan lebar, manakala kebuk utamanya mempunyai lebar 174 meter dan tinggi 122 meter.

Selain keluasannya yang boleh memuatkan lima buah gereja besar bersaiz gereja Saint Paul di London, di sinilah letaknya formasi berupa wajah bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln

Penduduk majoriti berbangsa Berawan dan Penan menamakan ia Gua Rusa atau Gua Payau kerana kawasan itu pernah menjadi tempat berteduh kepada haiwan liar itu, suatu ketika dahulu.

No comments

Pilihan

230 ditahan dalam Ops Ice Breaker

KUCHING, 1 Ogos – Seramai 230 orang telah ditangkap di dalam Operasi Ice Breaker yang dijalankan pada 29 dan 30 Julai oleh Jabatan Siasa...

Powered by Blogger.