Soon Koh umum letak jawatan
KUCHING - Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet negeri.
Beliau menjawat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang dan juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak.
Katanya, beliau akan menemui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi.
Soon Koh membuat pengumuman keputusan penting itu di pejabatnya di Wisma Masja di sini sebentar tadi.
Pada Sabtu lalu, dalam persidangan yang dihadiri 3,000 ahli PSB di Sibu, Soon Koh telah memberi petanda dengan menyifatkan kaki dan tangannya sudah dipotong menyebabkan tidak lagi mempunyai moral locus standi untuk mewakili parti dalam kabinet.
Beliau juga dilaporkan berkata, parti itu tidak tahu punca GPS tiba-tiba bermusuhan dengannya, selepas ia menerima beberapa pemimpin yang meletak jawatan atau dipecat daripada parti komponen GPS.
Dalam persidangan itu, mereka meluluskan resolusi untuk menyokong keputusan Soon Koh untuk kekal atau berundur daripada Kabinet negeri.

Post a Comment