PGA gempur jenayah rentas sempadan
KUCHING – Batalion 11 Pasukan Gerakan Am, Kuching berjaya
menggagalkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 62 tong gas berisi LPG (14 Kg)
dan 306 kg minyak masak anggaran bernilai RM 80,000.00 dalam operasi ‘Op Batas’
yang dijalankan di kawasan Kompleks ICQS Tebedu.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am
Kuching, Supt Rosdi Bin Inai berkata operasi dijalankan oleh seramai 7 pegawai
dan anggota dari Batalion 11 PGA yang diketuai oleh ASP Mohd Mazlan Bin Mohd
Ariff pada jam 10.00 pagi atas risikan dan maklumat yang diperolehi.
Sebanyak 62 tong gas berisi LPG (14 Kg) yang
disembunyikan di dalam sebuah van jenis Kia Pregio berjaya ditahan di kawasan
kompleks tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu van tersebut gagal
mengemukakan lesen borong yang sah dari KPDNHEP.
Van dan muatan barang tersebut telah dirampas.
Pihaknya juga berjaya menahan satu lelaki Indonesia
berusia 31 yang dipercayai pemandu van tersebut.
“Hasil maklumat yang diperolehi, barangan ini dipercayai
akan diseludup ke negara jiran melalui jalan darat dan akan dipasarkan di sekitar
Kalimantan,” kata Rosdi.
Kes dirujuk kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut mengikut Akta
Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai
barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun jika sabit
kesalahan.
Dalam kejadian berasingan pada jam 2.45 petang, dua
lelaki Warganegara Indonesia berusia 34 dan 42 tahun telah berjaya ditahan
kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kejadian berlaku di pintu masuk pagar Kompleks ICQS
Tebedu yang mana dua lelaki tersebut sedang menaiki sebuah kereta jenis Proton
Waja dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan yang diketuai oleh ASP Philip A/L
Ratnam bersama 5 anggota telah mendapati dua lelaki berkenaan tidak mempunyai
dokumen perjalanan yang sah dan tangkapan telah diserahkan kepada pihak Balai
Polis Tebedu untuk tindakan selanjutnya mengikut akta Imigresen 1963 yang mana
jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun atau dikenakan denda.
“Saya menyeru dan menasihatkan kepada masyarakat setempat
supaya sentiasa memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat-maklumat kepada
pihak berkuasa khususnya PDRM di dalam menangani jenayah-jenayah rentas
sempadan,” tambah Rosdi.

Post a Comment