Hanya ada separuh otak
MOSCOW- Seorang jurutera bersara yang berumur 60 tahun dari Rusia membingungkan doktor setelah mendapati dia hidup selama ini dengan hanya separuh otak sahaja.
Walaupun kebanyakan orang berpendapat keadaan sedemikian akan mengehadkan kehidupannya, pesara itu telah berkhidmat dalam angkatan tentera, berkeluarga, dan memperoleh ijazah universiti.
Yang pasti, anda tidak mampu menjadi jurutera tanpa kepintaran minda.
Secara asasnya, otak mempunyai dua bahagian, hemisfera kanan dan kiri.
Lelaki ini didapati telah hilang hemisfera kiri otaknya.
Imbasan menunjukkan satu lubang hitam besar dalam tengkoraknya.
Staf perubatan yang memeriksanya percaya yang kes ini unik tetapi bersetuju untuk merahsiakan identiti lelaki tersebut bagi menghormati privasinya.
Lelaki itu juga menolak rayuan dari hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut pada dirinya.
Salah seorang pakar neurologi di Moscow yang memeriksa lelaki itu, Marina Anikina, berkata, lelaki itu mendapatkan rawatan dari klinik daerah di selatan Moscow kerana mengalami serangan iskemia.
"Ini adalah berpunca dari kegagalan peredaran darah di dalam otak. Ia berbeza dengan strok apabila sebahagian dari otak rosak kekal.
"Pesakit ini sukar menggerakkan sebelah tangan dan kakinya. Pakar radiologi yang mengimbas otaknya, berada dalam kekeliruan kerana bahagian otak tempat serangan iskemia itu sepatutnya terjadi tidak wujud.
"Sebaliknya, bahagian kiri otak pesara itu hanya terdapat lubang hitam dalam paparan komputer," jelasnya,
Tambah Dr. Anikina, saintis sedar mengenai beberapa kes apabila sebahagian otak telah hilang.
"Ia selalunya terjadi pada bayi dalam kandungan dan kebiasaannya akan mengalami keguguran."
"Sekiranya bayi itu lahir fungsi otak adalah normal tetapi bakal mempunyai kesukaran bergerak.
"Apabila separuh otak sudah tidak berfungsi, separuh yang lain akan memikul tugasan," ujarnya.
Beliau memberitahu, sekiranya lelaki itu dikandungkan pada hari ini, dengan teknologi semasa, ibunya akan disarankan untuk menggugurkannya kerana bimbang pada komplikasi kesihatan.
Bagaimanapun, sebahagian besar hidup pesara itu hanya bergantung pada bahagian kanan otaknya untuk melakukan tugasan harian.
Pesara yang kelihatan normal itu berkata, dia telah hidup secara biasa sebelum ini dan tidak risau tentang apa-apa.
Dia membesar pada era Soviet, tidak pernah ada laporan mengenai kesihatan fizikal dan mentalnya, serta mempunyai penglihatan sempurna.
Kehidupannya sangat normal, bersekolah, memperoleh ijazah kejuruteraan sebelum menyertai angkatan tentera dan kemudiannya berkahwin serta mempunyai zuriat.

Post a Comment