Violet pertahankan kenyataan Guan Eng
KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUn) Pending, Violet Yong muncul bagi membela Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang telah diselar banyak pihak sebelum ini.
Malah katanya, Kerajaan GPS dipohon agar berhenti menyalahkan Guan Eng bagi kesalahan dan kesilapan mereka sendiri.
Violet juga menekankan bahawa kerajaan negeri Sarawak yang mempolitikkan dan mensensasikan isu sekolah uzur dan daif di sini dan tidak memberikan sepenuhnya kerjasama untuk menyelesaikannya.
"Isu sekolah-sekolah daif ini telah lama wujud sejak pemerintahan kerajaan BN, dan dahulu ia tidak pun diselesaikan menyebabkan banyak sekolah uzur hari ini," katanya.
Terdahulu, Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP membuat kenyataan tidak sensitif ketika Hari Sarawak 2019 dengan kenyataan seperti meletakkan keutamaan soal hutang kerajaan negeri Sarawak dahulu berbanding terus membaiki sekolah lama dan uzur di negeri ini.
Violet dalam kenyataan disiarkan pada laman web DAP semalam, menyeru kerajaan GPS menunaikan janji dengan perjanjian dicapai bersama Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM350 juta sebagai ansuran pertama pembayaran hutang persekutuan tanpa ditangguhkan lagi agar peruntukan membaiki sekolah daif dapat disalurkan.
Beliau turut mengingatkan kerajaan Sarawak bahawa jika mengambil lebih masa untuk membayar pinjaman hutang fasa pertama kepada Persekutuan, bersamaan bagi melewatkan pembaikan sekolah-sekolah uzur di sini.
Dalam kata lain, jika kerajaan negeri segera membayar RM350 juta, maka kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan saluran peruntukan kepada Sarawak.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberitahu, Guan Eng sepatutnya mengotakan janji Pakatan Harapan (PH) dahulu iaitu memberikan 20% royalti minyak kepada Sarawak sebelum meminta membayar pinjaman.
Katanya, baki royalti 15 peratus bersamaan RM4.74 bilion kepada Sarawak jika ditunaikan janji bukan hanya cukup membaiki sekolah daif di sini malah menyelesaikan kesemuua hutan kepada kerajaan Persekutuan.
"Ia adalah kesombongan Guan Eng meminta Sarawak membayar sebelum dia memberikan peruntukan sekolah daif di Sarawak.
"Bagi tahun pertama Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, dia mengambil RM82 bilion daripada Petronas. Saya yakin kebanyakannya datang dari keuntungan Petronas dari perairan Sarawak," jelasnya.

Post a Comment