Penyeludup cuba rasuah polis
KUCHING - Seorang lelaki menerima padah apabila beliau telah ditangkap kerana cubaan memberi suapan kepada penjawat awam ketika melaksanakan tugas.
Kejadian berlaku apabila operasi yang dijalankan sepasukan 7 pegawai dan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am, Kuching yang diketuai oleh ASP Mohd Mazlan B Mohd Arif dengan kerjasama 3 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan 8 pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan dan serbuan ke atas sebuah premis di kawasan Tebedu yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan penjualan gas cecair petroleum pada jam 12.45 tengahari atas risikan dan maklumat yang diperolehi.
Pegawai Pemerintah Batalion 11, Pasukan Gerakan Am, Batu Kawa, Supt Rosdi Inai berkata hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan telah menjumpai sejumlah gas cecair petroleum yang disimpan dan dipercayai tiada kelulusan dari pihak KPDNHEP.
“Turut berada di dalam premis tersebut semasa pemeriksaan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik premis. Pemilik telah gagal mengemukakan dokumen yang sah berhubung penyimpanan barang kawalan tersebut dan gagal menyelenggara buku stock penjualan gas cecair petroleum berkenaan,” kata Rosdi.
Rosdi berkata pihaknya juga menahan seorang lelaki dipercayai pemilik premis kerana cubaan memberi suapan kepada penjawat awam sebanyak RM 4,000.00 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di atas keselahan tersebut.
“Hasil maklumat yang diperolehi, barangan ini dipercayai akan diseludup atau dijual ke negara jiran melalui jalan darat dan akan dipasarkan di sekitar Kalimantan,” jelas beliau.
Kes diserah kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun.
Manakala kes rasuah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengikut Akta SPRM yang boleh membawa hukuman denda minimum 5 kali nilai suapan atau penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.




Post a Comment