KDJA mahu takluk Gunung Kinabalu
KUCHING - Media Sarawak menerusi Kuching Division Journalist Association, KDJA melancarkan ekspedisi sulung ke Gunung Kinabalu, Sabah esok.
Presiden KDJA, Jacqueline Nur Atiqah Abdullah berkata, ekspedisi tersebut melibatkan 15 pendaki daripada pelbagai pengamal media yang dijangka mengambil tempoh empat hari dari 9 hingga 12 Julai ini.
Katanya, perjalanan ke Laban Rata dari bawah dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi (10 Julai) dan kemudian bermalam sebelum bergerak kemuncak sekitar pukul 2 pagi sebelum kembali turun ke Taman Kinabalu hari sama.
"KDJA menghargai sokongan Kerajaan Negeri Sarawak terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahukan pengamal media mempunyai masa bagi aktiviti sukan.
"Ekspedisi ini juga sebagai penghormatan menjelang Hari Sarawak yang akan disambut 22 Julai nanti," katanya.
Lapan pengamal media hadir pada majlis penyerahan bendera Sarawak oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan di pejabatnya, Baitulmakmur Masja.
Tambahnya, pendaki-pendaki dijangka tiba di puncak pada 11 Julai dan mengibarkan bendera Bumi Kenyalang.
"KDJA akan meneruskan program sebegini di masa akan datang sekiranya terdapat peruntukan," jelasnya.



Post a Comment