Datuk Bandar menyamar sebagai OKU
MEXICO - Seorang Datuk Bandar di sini menyamar diri sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan bagi memerhatikan tingkah laku kakitangan awam dengan matanya sendiri.
Selepas menerima banyak aduan dari golongan OKU terhadap layanan yang diterima oleh mereka dari pekerja sosial, Datuk Bandar Cuauhtémoc, Carlos Tena, sebuah kota di negeri Chihuahua, tidak pasti siapa yang beliau ingin percaya, sama ada pengadu atau pekerja awam.
Oleh yang demikian, beliau telah merancang untuk menguji sendiri cara kerja pekerja sosial terbabit.
Tena menghabiskan dua bulan untuk menyiapkan kelengkapan samaran yang sempurna, dan selepas itu melawat kedua-dua Pejabat Datuk Bandar dan Perkhidmatan Sosial dengan menyamar sebagai OKU yang memerlukan bantuan.
Memakai baju sejuk tebal yang menyembunyikan sebahagian wajahnya, kaca mata gelap dan balutan luka menutup telinga kiri bagi memalsukan kecederaan, Carlos Tena masuk ke Jabatan Pembangunan Sosial dengan kerusi roda, meminta bantuan.
Beliau meminta makanan percuma, yang mana golongan OKU dan miskin layak diberikan megikut undang-undang, tetapi beliau bukan sahaja tidak diendahkan malah didiskriminasi.
Selepas mengalami layanan buruk di jabatan tersebut, beliau terus ke pejabatnya sendiri dan meminta untuk bercakap dengan datuk bandar, tetapi diberitahu yang beliau tiada.
Apabila beliau meminta pula untuk bercakap dengan Setiausaha Majlis Perbandaran, beliau dengan kasarnya diberitahu untuk tunggu di luar, kerana kakitangan awam tidak akan sampai dalam masa sejam setengah.
Detik itu, beliau sudah tahu bahawa aduan-aduan yang diterimanya bukanlah aduan kosong, terus bangun dari kerusi roda, dan membuang pakaian samarannya, lalu terus meninggalkan kakitangan di situ dalam keadaan tergamam.
Akhbar Mexico, El Vocero melaporkan bahawa Tena sudah lama dikenali dengan perjuangannya untuk hak layanan sama rata bagi golongan OKU.
Beliau memberitahu akhbar, setelah mengalami sendiri layanan buruk tersebut, beliau memberi amaran, tindakan drastik akan diambil pada kakitangan yang didapati bersalah sekiranya terbabit dalam aduan dari golongan OKU selepas ini.

Post a Comment