Usaha mencari Wan Kamaruddin diteruskan
KUCHING - Para petugas Pusat Khidmat P194 Petra Jaya diketuai oleh Abdur Rahman Abdul Rahim telah mengunjungi keluarga Wan Kamaruddin Wan Muhammad di Samariang sebaik membaca mengenai kehilangan beliau di media.
Adalah difahamkan mereka menghulurkan sedikit bantuan untuk meringankan beban keluarga beliau.
Setakat ini usaha pencarian pengawal keselamatan yang masih belum pulang dari mencari ketam itu masih diteruskan.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika dihubungi berkata para pegawainya diberitahu oleh saksi bahawa Wan Kamaruddin dilihat kali terakhir di persimpangan antara Sekolah Tunku Putra menuju ke arah Santubong dan Demak.
Para pegawai Pusat Khidmat juga sudah memaklumkan tentang kehilangan Wan Kamaruddin kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.
"Pihak polis Balai Polis Gita juga akan dimaklumkan," tambah Fadillah.
Fadillah turut berkata pihak keluarga Wan Kamaruddin akan menjalankan usaha di kawasan yang telah dikenalpasti oleh saksi tersebut.
"Adalah diharapkan pihak polis dan jabatan bomba akan turut serta," kata Fadillah.
Fadillah berkata beliau berhubung dengan kakitangannya mengenai perkara ini untuk mendapatkan maklumat terkini tentang usaha pencarian pengawal keselamatan itu.


Post a Comment