Berhati-hati dengan boyak lapar
BEKENU: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat agar tidak terperdaya dengan parti politik dari luar yang berniat mahu merampas hasil dan sumber negeri ini.
Abang Jo berkata, mereka ini seperti buaya lapar hanya menunggu peluang dan impian mereka akan tercapai sekiranya rakyat Sarawak tidak berhati-hati.
Beliau berkata, buaya itu merujuk pihak dari Semenanjung yang mahu memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian di sini agar hasrat mereka untuk mengaut hasil sumber di Sarawak tercapai.
"Kita harus berhati-hati dengan boyak lapar ini kerana mereka menunggu masa mok ngap Sarawak."
"Jaga-jaga kerana Sarawak begitu kaya dengan sumber di laut dan darat, ada minyak dan gas, banyak buaya hendak makan. Satu cara yang digunakan oleh buaya ini ialah dengan memecah-belahkan rakyat di negeri ini supaya senang dingap," katanya berucapmerasmikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 13 (Bekenu dan Lambir) di Bekenu hari ini.
Beliau berkata, budaya politik berpecah-belah di Semenanjung amat jelas dilihat terutamanya melibatkan Bumiputera iaitu dengan terpecahnya satu parti politik kepada lima, UMNO, PKR, PAS, Amanah dan Bersatu.
Abang Johari menegaskan, GPS tidak mengamalkan budaya politik yang memecah-belah perpaduan serta keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama.
"GPS iaitu parti anak Sarawak sendiri dapat mengurus dan mentadbir negeri mengikut acuan sendiri tanpa perlu terikat dengan parti dari Semenanjung. Justeru kita mesti jaga GPS, kita mesti ke depan."
Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa hanya GPS dapat melindungi hak Sarawak daripada orang luar.
Mengenai pelancaran GPS Zon Bekenu dan Lambir hari ini, Abang Jo berasa teruja dengan sambutan hangat yang masih mengekalkan kebudayaan masyarakat tempatan.
"Apabila turun dari helikopter saya disambut dengan gendang dan pelbagai kaum yang menunjukkan kehamornian rakyat kita. Tahniah kepada zon Bekenu dan Lambir kerana dapat mempertahankan budaya tinggi di Sarawak," katanya.

Post a Comment